mutakhir

'Dengar mereka minta tolong' [METROTV]

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

“SAYA nampak batu menghempap Siew Kim dan seorang lagi rakan, serta terdengar suara meminta tolong.

“Bagaimanapun, suasana kelam-kabut ketika itu dan sangat berbahaya menyebabkan kami juga tidak mampu menyelamatkan mereka,” kata Ong Lee Jye, 56.

Wanita itu seorang daripada 17 rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air, hari ini selepas terselamat daripada gempa bumi di Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia.

Gempa bumi berukuran 5.8 skala Richter berlaku Ahad lalu mengorbankan dua rakyat Malaysia iaitu Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily, Datin Tai Siew Kim dan Lim Sai Wah.

Ong berkata, dia bercuti ke negara berkenaan bersama 21 sahabat yang semuanya rakan sekelas ketika di sekolah rendah dekat Jementah, Segamat, Johor sejak 14 Mac lalu.

Katanya, ia adalah majlis perjumpaan semula mereka selepas sekian lama tidak bertemu dan pengalaman pertamanya menjejaki Indonesia.

“Ketika gempa, kami berada di kawasan Air Terjun Tiu Kelep Senaru, Lombok Timur dan merasai gegaran yang disusuli bunyi kuat seperti meletup, kemudian ada orang menjerit supaya berlari menyelamatkan diri.

“Saya segera berbuat demikian dan terkena batu di kaki ketika berlari, menyebabkan luka serta dirawat di hospital,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang.

Ketibaan rakyat Malaysia itu disambut Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Negeri, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin.

Ditanya sama ada dia mahu bercuti ke Indonesia lagi, Ong yang tinggal di Ipoh, Perak berkata, masih trauma dengan kejadian itu.

Rakannya, Cheong Kim Leong, 56, dari Johor Bahru berkata, ketika kejadian, dia sekeluarga tidak berada di kawasan air terjun itu sebaliknya, di restoran berdekatan Pantai Senggigi.

“Saya bersama isteri serta ibu dan bapa saudara sedang makan sebelum gempa berlaku. Saya tidak menyertai rakan lain ke air terjun kerana isteri kurang sihat.

“Namun, gegaran tetap dirasai dan dan apabila bertanya kepada orang lain, mereka memaklumkan ada gempa bumi. Kami terus menyelamatkan diri,” katanya yang terkilan tidak berada di tempat kejadian untuk membantu rakannya.

Berita berkaitan

Tiada penuntut Malaysia terbabit gempa Lombok

2 rakyat Malaysia terkorban gempa Lombok

22 rakyat Malaysia terperangkap gempa Lombok

Pengamal media korban gempa Lombok

Rakyat kita terbunuh gempa bumi di Lombok

Disiarkan pada: March 19, 2019 @ 7:05pm
d