mutakhir

Lokasi `keras' bakal jadi taman rekreasi

Oleh Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid

SEBANYAK 50 banglo dan taman rekreasi akan mula dibina di tapak kondominium Highland Towers selewat-lewatnya Jun ini.

Tapak kondominium Highland Towers yang terbiar sejak 26 tahun lalu akan bertukar wajah apabila projek itu disiapkan kelak.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya kini sedang di peringkat menyelesaikan 10 nama pemilik di Blok 2 dan 3 kondominium 12 tingkat itu.

“Sekarang ini, kita ada 10 pemilik yang masih tidak dapat dikesan iaitu lima pemilik tidak hadir, tiga meninggal dunia dan dua lagi tiada maklumat mengenai mereka.

“Pada 4 April ini, kes untuk mengeluarkan nama mereka akan dibawa ke mahkamah dan bila dah jelas tiada tuntutan, kita akan ada satu lagi peringkat dibuat.

“Peringkat di mana berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengesahkan bangunan dan tanah di situ tidak selamat dan harus dirobohkan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen tadi.

Menurutnya, pemaju mempunyai perancangan untuk membina taman rekreasi di tapak tiga blok bangunan berkenaan selain kawasan sekitarnya dibina 50 unit banglo.

“Ia bukannya membina semula kediaman bertingkat yang berisiko, sebaliknya banglo dan taman rekreasi untuk manfaat penduduk sekitarnya.

“Bagaimanapun nama Highland Towers itu akan dikekalkan kerana ia mempunyai nilai sejarah,” katanya.

Pada Ogos tahun lalu, Zuraida mencadangkan Highland Towers dibangunkan semula sebagai lokasi taman rekreasi.

Cadangan itu dibuat memandangkan struktur tanah di kawasan terbabit tidak sesuai untuk pembinaan perumahan.

Pada 11 Disember 1993, satu daripada tiga blok Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dalam tragedi yang meragut nyawa 48 orang.

Disiarkan pada: March 19, 2019 @ 7:32pm
d