mutakhir

Kekang individu 'celupar' di media sosial

Oleh Hairulazim Mahmud

KERAJAAN perlu bertindak tegas dalam usaha mengekang salah guna media sosial termasuk menghina kepimpinan negara dengan kata-kata jelek yang semakin berleluasa akhir ini.

Ketua ARMADA Lumut Akmal Maradzi berkata, kebebasan bersuara ada hadnya namun jangan sampai menghina dan menjatuhkan maruah orang lain.

"Memang benar, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan suara, tetapi menghina itu amat salah dan boleh menimbulkan suasana tidak tenteram di kalangan masyarakat Malaysia khasnya.

"Terbaru ini, terdapat seorang yang mendakwa dirinya penganalisis politik bebas didapati menghina Perdana Menteri laman Facebooknya," katanya di Lumut, Perak.

Baru-baru ini, status Facebook seorang lelaki dipercayai dari Sabah menghina Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kata-kata jelek.

Video berdurasi 40.07 minit itu sudah mendapat lebih 200 perkongsian di laman sosial.

Akmal berkata, rakyat boleh berbeza pendapat atau pandangan politik, namun tindakan menghina serta mengeluarkan kata-kata jelek tidak sepatutnya dilakukan.

"BERSATU khuatir jika pihak berkuasa lewat mengambil tindakan, perkara yang sama akan berulang, mungkin akan dilakukan individu lain pula.

"Saya berharap tindakan tegas segera diambil agar ia dapat menjadi pengajaran kepada pihak lain," katanya.

Rata-rata warganet juga mengkritik lelaki berkenaan kerana tindakannya yang mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya

Akmal turut mengulas Program Jelajah Demi Harapan Rakyat di Mukim Pangkor baru-baru ini yang membabitkan beberapa agensi dan jabatan kerajaan dalam usaha mendekati masyarakat setempat.

Dalam program itu, Akmal berkata, lebih 2,000 pengunjung mendapatkan manfaat daripada program membabitkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bahagian Pembangunan Luar Bandar Pejabat Daerah Manjung (PLB), Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Jabatan Kesihatan Malaysia (JKM).

Turut menjayakan program itu dalah Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan juga Biro Kebajikan Armada Bersatu Lumut.

“Kami berharap lebih banyak lagi agensi dan jabatan kerajaan termasuk pihak swasta lain bekerjasama dalam program seperti ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 19, 2019 @ 8:44pm
d