mutakhir

Restoran simpan makanan berkulat diarah tutup

Oleh Samadi Ahmad

RESTORAN berasaskan masakan ala Thailand yang beroperasi di Pusat Kormesial @Ayer 8, Putrajaya, diarah tutup dua minggu bermula hari ini kerana beroperasi dalam keadaan kotor.

Arahan itu dikeluarkan Perbadanan Putrajaya (PPj) selepas operasi bersepadu dijalankan di Putrajaya, hari ini.

Presiden PPj, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, operasi bermula 2.30 petang dan berakhir 5 petang itu turut memeriksa lima premis dan sebanyak 10 kompaun dikeluarkan dengan pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, premis makanan itu diarahkan tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1985 selepas markah penilaian kebersihan premis di bawah 64 peratus.

“Sebelum ini, premis berkenaan diberikan gred B atas faktor kebersihan. Dalam operasi itu, kami mendapati premis berkenaan menyimpan makanan yang sudah berkulat di dalam sebuah peti ais yang rosak.

“Selain itu, premis sama turut melakukan kesalahan lain, termasuk membuang sisa makanan ke dalam longkang awam, tidak meletakkan tong sampah di tempat yang ditetapkan dan menyalurkan air ke dalam longkang utama yang mengalir ke dalam tasik,” katanya.

Mengikut statistik yang dikeluarkan tahun lalu, sebanyak 350 premis berlesen direkodkan dan 207 daripadanya diberi penggredan A, manakala 169 mendapat penggredan B.

Daripada jumlah itu, PPj mengeluarkan sebanyak 112 kompaun, 43 notis amaran dan 11 buah penutupan premis makanan.

Dalam pada itu, Dr Aminuddin berkata, operasi seperti itu akan dijalankan secara berkala setiap bulan bagi memastikan premis makanan di pusat pentadbiran kerajaan itu sentiasa bersih dan mematuhi syarat ditetapkan.

Menurutnya, premis yang diarah tutup boleh mengemukakan permohonan awal untuk membuka semula perniagaan selepas kerja pembersihan diadakan serta mendapat kelulusan PPj.

“Bermula awal tahun sehingga Februari lalu, PPj mengeluarkan sebanyak lapan kompaun dan empat notis amaran, termasuk memberikan 15 penggredan A manakala 20 premis lagi mendapat penggredan B.

“Hasil pemantauan mendapati, masih terdapat segelintir pemilik premis makanan yang mengabaikan tahap kebersihan di premis masing-masing,” katanya.

Disiarkan pada: March 19, 2019 @ 9:05pm
d