mutakhir

Pegawai, anggota narkotik kemalangan balik operasi

Oleh Muhammad Apendy Issahak

SEPASUKAN empat pegawai dan anggota Cawangan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah yang baru selesai operasi di Parit, Seri Iskandar, terbabit kemalangan, petang hari ini.

Kemalangan di Kilometer 5, Jalan Baru Seri Iskandar - Parit itu mengakibatkan dua daripada anggota terbabit parah dan seorang cedera, manakala seorang lagi terselamat.

Kejadian kira-kira 5 petang itu membabitkan kemalangan pacuan empat roda dinaiki pasukan polis terbabit dan Perodua Viva.

Anggota yang parah dalam kemalangan itu adalah Sarjan Noor Hellmey Shabidi, 36 dan Sarjan Siti Salbiah Ishak, 29, manakala Inspektor Mohd Hayat Eree, 33, cedera dan Koperal Mohd Hayazi Mat Isa, 30, terselamat.

Pemandu Perodua Viva, lelaki berusia 46 tahun juga parah.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati Noor Hellmey yang memandu Mitsubishi Pajero bersama tiga yang lain dari arah Parit menghala ke Seri Iskandar selepas selesai operasi.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, Perodua Viva yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan Mitsubishi Pajero sebelum kedua-dua kenderaan bertembung.

“Akibat kemalangan itu, Noor Hellmey dan Siti Salbiah parah, manakala Mohd Hayat cedera.

“Mereka dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan lanjut, pemandu Perodua Viva pula dihantar ke Hospital Changkat Melintang, Seri Iskandar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: March 19, 2019 @ 10:25pm
d