mutakhir

Dulu kata kami gila

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

“KAMI diketawakan segelintir penduduk, malah ada yang kata kami gila kerana membasuh tandan kelapa sawit,” kata Penolong Pengurus Rancangan FELDA Lui Timur, Eddy Rozaimi Fadirallah.

Eddy Rozaimi, 41, berkata, tandan kelapa sawit perlu dibasuh sebelum digunakan untuk penanaman cendawan volvariela volvace atau dikenali cendawan jerami.

Katanya, idea mencuba tanaman itu diperoleh daripada bapa saudara yang mengusahakannya di Pedu, Kedah tetapi menggunakan jerami padi sebagai perumah cendawan berkenaan.

Menurutnya, disebabkan sukar mendapatkan jerami padi di kawasan itu, dia menukarnya kepada tandan kelapa sawit tetapi ia perlu dibersihkan daripada segala kotoran termasuk sisa minyak sebelum digunakan.

“Sebab itu apabila penduduk lihat saya dan rakan yang terbabit dalam penanam cendawan ini membersihkan tandan, mereka anggap kami gila, malah pernah seorang rakan hampir menarik diri disebabkan tidak tahan dengan sindiran itu.

“Sebenarnya cendawan ini mudah diusahakan tidak seperti cendawan tiram atau kukur yang memerlukan pelbagai kaedah lain tetapi cendawan ini hanya mengguna teknik tanam, tinggal dan tuai,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Eddy Rozaimi berkata, biarpun masih asing dalam kalangan penduduk setempat, percubaan pertama mengusahakan cendawan itu membuahkan hasil apabila semakin diminati masyarakat setempat.

Katanya, pengalaman kerja 16 tahun bersama FELDA digunakan bagi mengusahakan projek berkenaan apatah lagi pasaran cendawan berkenaan mencecah RM20 sekilogram.

“Ketika pertama kali menjual cendawan di pasar Bahau, ramai yang terkejut melihat rupa cendawan ini tidak kurang juga ada yang marah kerana menyangka kami menjual cendawan beracun,” katanya.

Dia yang memulakan projek penanaman itu pada Disember tahun lalu berkata, pengurusan FELDA sudah melawat projek perintis berkenaan dan mahu lebih ramai warga FELDA mengusahakan tanaman itu.

Bagi Saiful Tusairi, 32, berkata, dia diajak Eddy Rozaimi untuk menyertai projek itu selepas tertarik dengan cara penanaman yang mudah diuruskan.

“Selepas benih cendawan ditabur pada tandan, ia ditinggalkan selama 10 hari, seminggu selepas itu hasilnya boleh dituai dan sesuai dimasak ketika ia dalam bentuk telur,” katanya.

Katanya, penanaman itu sesuai menggunakan rak yang diletak di dalam bangsal bagi pembiakan benih cendawan selain boleh juga ditanam atas tanah.

Disiarkan pada: March 20, 2019 @ 6:01am
d