mutakhir

New Zealand belum umum senarai penuh mangsa tembakan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

SENARAI penuh nama mangsa yang terkorban dalam insiden tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat lalu dijangka akan diumumkan pihak berkuasa tempatan negara itu dalam tempoh terdekat.

Jurucakap Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand berkata, pihaknya masih belum mendapat sebarang maklumat rasmi daripada pihak berkuasa, namun difahamkan ia akan diumumkan tidak lama lagi.

Menurutnya, setakat ini, pejabat Pesuruhjaya Tinggi masih menanti maklumat lanjut mengenai rakyat Malaysia Muhd Haziq Tarmizi, 17, selepas dilaporkan hilang sejurus insiden berkenaan.

“Kami berharap senarai nama mangsa dapat diumumkan segera agar tindakan lanjut dapat dilakukan. Namun sehingga kini kami masih menunggu senarai lengkap mangsa yang terkorban dalam insiden itu,” katanya ketika dihubungi di Wellington, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Nur Izzah Wong Mee Choo bersama pegawai Wisma Putra sudah ke Christchurch untuk memantau keadaan mangsa selain mendapatkan maklumat terkini mengenai rakyat Malaysia yang masih hilang.

Katanya, tiga rakyat Malaysia yang cedera ditembak dan menerima rawatan di Hospital Christchurch kini dilaporkan stabil, namun pemantauan lanjut masih diperlukan sehingga keadaan mereka disahkan pulih sepenuhnya.

“Pejabat Pesuruhjaya Tinggi juga membantu pelbagai pihak yang mewujudkan tabung bantuan untuk disalurkan kepada mangsa yang cedera. Inisiatif itu dilakukan masyarakat negara ini,” katanya.

Katanya, tahap keselamatan di New Zealand juga ditingkatkan apabila kerajaan negara itu menempatkan anggota polis di pintu masuk masjid bagi tujuan pemantauan.

Dalam insiden Jumaat lalu di Masjid al Noor dan Lindwood menyebabkan tiga rakyat Malaysia Rahimi Ahmad, 39, Mohd Tarmizi Shuib, 46, dan Mohd Nazril Hisham Omar, 46, cedera manakala seorang lagi masih dilaporkan hilang.

Polis New Zealand turut mengesahkan kejadian itu menyebabkan 50 individu dilaporkan terkorban, manakala 50 lagi cedera termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dilaporkan kritikal.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Disiarkan pada: March 20, 2019 @ 12:31pm
    d