mutakhir

Minta rasuah tukar sampel air kencing

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

SARJAN wanita dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Selangor direman tiga hari oleh Mahkamah Khas Reman, Seremban untuk siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM1,500, 13 Mac lalu.

Perintah tahanan itu dikeluarkan Majistret V Vanita bermula hari ini sehingga Jumaat selepas, membenarkan permohonan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, Mohd Khairi Abdul Karim.

Wanita berusia 30 tahun itu diwakili peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusof, disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sumber SPRM berkata, wanita itu didakwa meminta RM3,000 untuk menukarkan sampel air kencing lelaki berusia 39 tahun yang ditahan polis di Gombak pada 13 Mac lalu selepas positif dadah.

“Kelmarin, sarjan itu didakwa sekali lagi menghubungi lelaki itu dan bersetuju memberikan diskaun RM1,500 selain mahu memulangkan semula kad pengenalannya. Wang itu diberikan kepada suspek pada semalam,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, SPRM Negeri Sembilan yang menerima aduan, segera ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Gombak dan menahannya pada 9.45 pagi semalam.

Disiarkan pada: March 20, 2019 @ 2:57pm
d