mutakhir

Tiga minit larikan kereta

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PENJENAYAH hanya mengambil masa kira-kira tiga minit untuk melarikan kereta yang diletakkan di tepi Jalan Teratai 1/2, Ampang, semalam.

Menurut mangsa, Nurul Azwanizam Zulkurnain, 27, dia menyedari kereta Proton Satria miliknya itu hilang selepas mendapati ia tiada di lokasi berkenaan kira-kira 8 pagi ketika mahu ke tempat kerja yang terletak di tingkat bawah bilik sewanya.

Katanya, dia yang panik dengan kehilangan keretanya kemudian terus melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di depan tempat kerjanya.

“Berdasarkan rakaman CCTV itu, ada dua lelaki menaiki motosikal Yamaha Lagenda dan memakai helmet tutup muka penuh dilihat berulang-alik di lokasi berkenaan kira-kira 7 pagi.

“Mereka kemudian dilihat memberhentikan motosikal di kedai sebelah sebelum penunggang motosikal itu turun dan menghampiri kereta saya. Seorang lagi rakannya dilihat menunggang motosikal itu dan menunggu di lorong belakang,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Nurul Azwanizam berkata, lelaki itu kemudian dilihat beberapa kali cuba membuka pintu kereta di tempat duduk pemandu dipercayai menggunakan kunci pendua.

“Sebaik berjaya membuka pintu kereta itu, dia terus memecut kenderaan sambil diekori rakannya yang menunggang motosikal.

“Saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berhubung kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Superintendan Mohd Zaid Hassan ketika dihubungi, di sini, hari ini, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan,” katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2019 @ 5:23pm
d