mutakhir

Doktor ditemui mati di hotel

Oleh Mohd Khidir Zakaria

DOKTOR berusia 34 tahun ditemui mati dalam sebuah bilik hotel di Batu 1, Jalan Pantai, Port Dickson semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada pekerja hotel itu 2 petang.

“Sepasukan polis ke lokasi menemui lelaki itu yang juga doktor tidak sedarkan diri di katil dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Kita menemui jarum suntikan pada tangan kiri lelaki itu. “Siasatan mendapati dia memasukkan cecair ‘sodium chloride’ ke dalam tubuh menggunakan jarum suntikan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidi Sham berkata, pemeriksaan di lokasi tidak menemui sebarang unsur jenayah.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson (HPD) dan bedah siasat dijalankan hari ini,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan punca kematian mangsa tidak dapat dikenalpasti dan setakat ini kes diklasifikasikan mati mengejut.

Disiarkan pada: March 20, 2019 @ 6:05pm
d