mutakhir

Jilperi..Kasihanilah isterimu

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEORANG buruh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu hari ini, atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap isterinya.

Tertuduh, Jilperi Ali, 38, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan mengikut Seksyen 352A Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap isterinya berusia 33 tahun di hadapan sebuah rumah di Jalan Kubang Badak, Kuala Nerus, jam 8.40 malam pada 28 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 25 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta kes dan hukuman.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: March 20, 2019 @ 6:16pm
d