mutakhir

Belasah, bakar isteri dituduh curang

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

BERANG isterinya tidak mengaku mempunyai hubungan sulit menyebabkan seorang lelaki tergamak membelasah dan menyimbah petrol sebelum membakar mangsa di kediaman mereka di Kampung Permatang Gedung, Sungai Petani, semalam.

Dalam kejadian 9 pagi itu, mangsa berusia 30-an yang melecur di perut dan tangan kiri melarikan diri ke dalam bilik untuk memadamkan kebakaran sebelum menghubungi pihak polis memaklumkan kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa adalah wanita warga asing yang bertengkar dengan suaminya berusia 43 tahun apabila suspek menuduhnya menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain semasa dia di dalam penjara.

Menurutnya, mangsa menafikan berlaku curang dengannya menyebabkan suspek tidak berpuas hati dan bertindak memukul dan menendangnya.

“Kemudian dia mengambil sejenis cecair dan terus menyimbah ke arah mangsa menyebabkan wanita itu masuk ke dalam bilik air untuk mandi, namun terhidu bau petrol.

“Suspek kemudian turut menyalakan api dan menghala ke arah mangsa menyebabkan bajunya terbakar dan dia terus berlari ke dalam bilik untuk memadamkan api,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Adzli berkata, mangsa turut menghubungi pihak polis yang bertugas di Pondok Polis Taman Sejati sebelum anggota yang tiba beberapa minit kemudian menahan suspek.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa melecur di perut serta tangan kiri dan kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim.

Katanya, suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Disiarkan pada: March 20, 2019 @ 9:54pm
d