mutakhir

Maut dibelasah angkara kiriman WhatsApp

Oleh Hadzlihady Hassan

SEORANG lelaki maut ketika mendapatkan rawatan di hospital, hari ini selepas dipukul tiga lelaki dalam pergaduhan di kedai cuci kereta di Taman Chai Leng, Perai, Bukit Mertajam, semalam.

Mangsa berusia 38 tahun itu meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Seberang Jaya pada 11 pagi hari ini.

Difahamkan, mangsa dipukul di kedai cuci kereta pada 1.30 tengah hari semalam sebelum dibawa ke sebuah rumah yang dijadikan sebagai pejabat terletak di seberang jalan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika itu mangsa sudah pengsan dan dibawa masuk ke rumah berkenaan.

“Melihatkan keadaan mangsa, suspek menghubungi ambulans dan mereka memberitahu kepada kakitangan perubatan kononnya mangsa mengalami kemalangan jalan raya.

“Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital hari ini dan bedah siasat mendapati ada kesan luka di muka, kepala dan lengan disyaki akibat dipukul,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, polis kemudian membuat siasatan lanjut dan hasil pemeriksaan di kedai cuci kereta mendapati tiada sebarang kesan mencurigakan kerana kawasan itu sudah dicuci.

Bagaimanapun, katanya, hasil siasatan lanjut di rumah yang dijadikan sebagai pejabat kedai cuci kereta itu, polis menemui kesan tompokan darah di ruang tamu dan sebatang kayu dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

“Susulan itu polis menahan dua suspek manakala seorang lagi masih dikesan kerana dia melarikan diri.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perbuatan mangsa yang menghantar kiriman WhatsApp kepada suspek yang kini masih dikesan polis itu.

“Mangsa dikatakan menghantar mesej memberitahu dia akan mengganggu isteri serta keluarga suspek terbabit,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: March 20, 2019 @ 10:17pm
d