mutakhir

Denda RM3,000 ugut, cederakan warga emas

Oleh Muhamaad Razis Ismail

IBU tunggal didenda RM3,000 di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini terhadap tuduhan mengugut dan mencederakan seorang warga emas dengan pisau, tahun lalu.

Majistret Kamarul Hasyime Rosli menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Nor Amalina Ab Halim, 31, mengaku salah terhadap dua tuduhan berkenaan.

Kamarul Hasyime menetapkan hukuman denda RM1,500 bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda itu.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menakutkan Zahrah Ismail, 78, dengan mengacukan pisau terhadap mangsa di sebuah hotel di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu pada 3.20 petang, 16 Disember 2018.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengacukan pisau sehingga terkena jari mangsa pada tarikh, waktu dan lokasi sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, peguam Norzaimah Mohamed dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman ringan terhadap tertuduh, mengambil kira dia mengalami tekanan perasaan akibat konflik rumah tangga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Gayathri Sambath memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang wanita mengamuk menggunakan pisau sebelum mencederakan orang awam di sebuah hotel di Wakaf Che Yeh.

Disiarkan pada: March 21, 2019 @ 1:48pm
d