mutakhir

Kerjasama anjur Karnival Jom Heboh, Grand Bazar Ramadan Raya [METROTV]

Oleh Mohamad Hussin

RANGKAIAN Televisyen Media Prima (MPTN) dengan kerjasama Build Up Resources Sdn Bhd (BUR) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam penganjuran Karnival Jom Heboh (KJH) dan Grand Bazar Ramadan Raya 2019 (GBRR), di Sri Pentas, Petaling Jaya, hari ini.

Permeteraian MoU itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif MPTN, Johan Ishak dan Pengerusi BUR, Datuk Mohd Azizan Che Omar.

Majlis turut disaksikan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Johan berkata, KJH adalah acara padang terbesar anjuran TV3 yang akan diadakan selama dua hari di Bulatan Bazarena, Shah Alam, pada 27 dan 28 April ini.

Beliau berkata, GBBR 2019 sebagai bazar terbesar dalam sejarah dengan penganjuran serentak GBBR di Stadium Shah Alam, pada 4 Mei hingga 2 Jun dan Stadium Bukit Jalil, pada 16 Mei hingga 4 Jun.

“GBBR 2019 juga mensasarkan untuk catatan The Malaysia Book of Records sebagai bazar terbesar dan lemang terpanjang.

“Bagi musim perayaan Ramadan dan Raya, TV3 dan BUR akan meneruskan kerjasama untuk menganjurkan GBBR terbesar yang dilihat sebagai platform kepada komuniti usahawan.

“Ia membabitkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Selangor dan Kuala Lumpur dalam memasarkan perkhidmatan dan produk mereka,” katanya.

Menurutnya, BUR akan menyediakan 436 unit booth di Bukit Jalil manakala 134 unit booth di Shah Alam.

“Ia akan beroperasi dari jam 3 petang hingga 12 tengah malam pada hari bekerja manakala 11 pagi hingga 12 tengah malam pada hujung minggu dan cuti umum.

“Kami mensasarkan lebih 500,000 pengunjung akan hadir di dua lokasi berkenaan.

“Hasil jualan lemang terpanjang ini akan disalurkan kepada Tabung Bersamamu TV3. Tarikan lain program ini acara solat berjemaah bersama tahfiz dan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim,” katanya.

Johan berkata, kesemua jenama dan vendor dialu-alukan untuk menjual barangan produk mereka di GBBR 2019 seperti pakaian, aksesori peribadi, produk kesihatan dan kecantikan, barangan elektrik, perabot, hiasan dalaman rumah, aksesori telefon, kuih raya dan pelbagai minuman serta makanan.

Mereka yang berminat boleh menghubungi MPTN di talian 03-77266333 atau melayari laman web di www.mediaprima.com.my.

Disiarkan pada: March 21, 2019 @ 2:35pm
d