mutakhir

Buruh ugut bunuh ahli keluarga

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

TIDAK cukup merosakkan dan membakar barangan yang ada, buruh turut mengugut mahu membunuh ahli keluarganya dalam kejadian di sebuah rumah di Chendering, Kuala Terengganu semalam.

Kejadian berlaku jam 7 pagi apabila lelaki berusia 26 tahun itu tiba-tiba mengamuk dengan membaling barang keluar dari rumah.

Menurut sumber, lelaki yang bersenjatakan sebilah parang turut mengugut mahu membunuh ahli keluarganya yang berada di rumah.

Katanya, lelaki itu kemudian masuk ke bilik sebelum bertindak membakar barang dan beberapa dokumen.

“Ibu lelaki berusia 47 tahun itu memaklumkan anaknya selalu mengatakan mahu membakar rumah ketika mengamuk.

“Melihat keadaan anaknya yang semakin tidak terkawal itu, ibunya mendapatkan bantuan abang iparnya bagi memaklumkan kejadian itu kepada polis.

“Susulan laporan diterima, polis bergegas ke lokasi sebelum menahan lelaki itu di rumahnya jam 10.30 pagi hari sama,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membenarkan suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 427 KK kerana melakukan khianat.

Disiarkan pada: March 21, 2019 @ 3:44pm
d