mutakhir

'Haziq mati syahid' - Mufti Pahang

Oleh Amir Abd Hamid

“KEMATIAN Allahyarham Muhammad Haziq adalah tergolong dalam mati syahid akhirat kerana ia berlaku secara tiba-tiba ketika dia berada di dalam masjid. Walaupun ia bukan syahid kerana berperang, itu tetap dikira syahid dan kita doakan dia bersama syuhada di sisi Alah SWT,” kata Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Menurutnya, jenazah Muhammad Haziq Mohd Tarmizi masih perlu diuruskan seperti biasa kerana dia meninggal dunia bukan di dalam peperangan sebaliknya ditembak dalam serangan pengganas.

“Kalau mati dalam peperangan, memanglah tidak perlu dimandikan, tetapi dalam kes ini dia diserang dan ditembak. Bagaimanapun, ia tetap dalam kategori mati syahid,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, mati syahid dikategorikan dalam dua keadaan iaitu syahid dunia serta akhirat dan kematian remaja berkenaan dalam kejadian 15 Mac lalu termasuk dalam kategori syahid akhirat.

Dr Abdul Rahman berkata, beliau berharap keluarga tabah menghadapi situasi ini dan berdoa supaya Muhammad Haziq ditempatkan bersama solihin dan diberi ganjaran syurga oleh Allah SWT.

Kementerian Luar awal pagi ini mengesahkan bahawa Muhammad Haziq, 17, terbunuh manakala bapa Muhammad Haziq, Mohd Tarmizi Shuib juga cedera dalam serangan itu dan menerima rawatan.

Dua lagi rakyat Malaysia yang cedera ialah Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Disiarkan pada: March 21, 2019 @ 5:05pm
    d