mutakhir

Tunjuk dadah di Pejabat Ahli Parlimen

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

TINDAKAN seorang lelaki ‘lalok’ membawa bungkusan dadah ketika mengadu masalah di pejabat Ahli Parlimen Kepong, Kuala Lumpur mengundang padah apabila dia ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, suspek ditahan pada jam 5 petang semalam selepas Pegawai Khas Ahli Parlimen Kepong membuat laporan kehadiran seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah.

Katanya, susulan aduan itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dihantar ke lokasi sebelum menahan lelaki terbabit.

“Ketika ditahan, polis turut menemui sejumlah dadah jenis methaphetamine atau syabu dianggarkan seberat 19 gram.

“Hasil ujian air kencing kemudian turut mendapati lelaki itu positif dadah jenis syabu dan suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 1591)(a) akta yang sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Politik Ahli Parlimen Kepong, Yew Jia Hur berkata, kakitangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kepong pada mulanya menerima kehadiran lelaki itu yang mengadu kononnya diugut polis dan dipaksa membayar RM15,000 bagi menutup kesnya.

Katanya, ketika berbual, lelaki itu tiba-tiba mengeluarkan satu bungkusan dipercayai mengandungi dadah dan meletakkan diatas meja apabila ditanya mengapa dia diugut polis.

“Lelaki itu tiba-tiba membawa keluar satu bungkusan dan meletakkannya di atas meja apabila ditanya dia terbabit dengan kes apa.

“Curiga dengan tindakan lelaki itu serta bungkusan yang dibawa, kami kemudian menghubungi polis,” katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Jia hur berkata, lelaki itu dipercayai di bawah pengaruh dadah berdasarkan cara dia bercakap dan menangis apabila digari polis.

“Susulan itu, kami membuat laporan polis kerana khuatir tindakan lelaki itu membawa masuk dadah ke pejabat kami membabitkan unsur sabotaj,” katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2019 @ 5:37pm
d