mutakhir

[UPDATE] 'Wajah arwah Haziq berseri-seri'

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“ADIK saya, Mariani Shuib, 49, memberitahu wajah Muhammad Haziq berseri-seri, nampak tenang seolah-olah sedang tidur ketika dikafankan walaupun jenazahnya sudah masuk hari kelima hari ini sejak tragedi tembakan itu berlaku, Jumaat lalu,” kata Zarina Shuib, 53.

Menurut Zarina, mereka sekeluarga reda dengan pemergian anak saudaranya, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang meninggal dunia akibat terkena tembakan rambang ketika menunaikan solat bersama bapa dan adiknya di Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand Jumaat lalu.

Katanya, sebelum ini mereka sekeluarga mengharapkan Muhammad Haziq selamat dalam kejadian itu walaupun dilaporkan hilang sehingga semalam.

Menurutnya, sepanjang tempoh kehilangan itu, dia hanya menunggu berita daripada adiknya, Mariani yang berada di New Zealand bersama abang mereka, Zakaria Shuib, 55.

“Malam tadi jam 12 tengah malam saya terima WhatsApp dari nombor tidak dikenali memberitahu Muhammad Haziq sudah tiada tetapi saya abaikan saja kerana antara percaya atau tidak ketika itu.

“Pagi tadi juga saya terima banyak ucapan takziah melalui rakan-rakan sekerja melalui WhatsApp dan tengok berita dalam laman sosial di Facebook,” katanya ditemui di rumahnya di Jalan Hutan Kampung, Alor Setar hari ini.

Zarina berkata, dia hanya mendapat pengesahan mengenai kematian anak saudaranya itu melalui kiriman WhatsApp daripada rakannya yang menghantar pengesahan dari Wisma Putra menerusi Facebook 6.30 pagi tadi.

Katanya, ketika itu Mariani menghubunginya jam 8 pagi namun dia memberitahu mereka belum dapat sebarang pengesahan kematian Muhammad Haziq di sana dan mungkin orang lain sudah mengetahui lebih awal daripada mereka yang ketika itu masih berada di Hospital Christchurch.

“Kali terakhir saya bertemu arwah ketika Aidilfitri dua tahun lalu dan ketika itu mereka pulang berhari raya di sini sebelum kembali ke New Zealand,” katanya.

Zarina berkata, Mariani kemudian menghubunginya semula jam 4 petang tadi memaklumkan jenazah Mohd Haziq selamat dikebumikan di Memorial Park Christchurch, New Zealand.

Bagaimanapun katanya, majlis pengebumian itu hanya ditemani bapa mangsa, Mohd Tarmizi, 42, dan abangnya Zakaria kerana pihak berkuasa menghadkan jumlah pengunjung di tapak perkuburan itu.

“Mariani memaklumkan Mohd Tarmizi sudah boleh berjalan sedikit tetapi dibawa menaiki kerusi roda untuk melihat majlis pengebumian anaknya.

“Setakat ini, seorang lagi anak Tarmizi sudah dibenarkan keluar hospital namun ketika saya buat panggilan video untuk melihat keadaannya, Mohd Haris, 13, enggan berbual seolah-olah takut dan masih trauma dengan apa yang berlaku,” katanya.

Zarina berkata, setakat ini Mohd Haris masih belum mengetahui yang abangnya sudah tiada kerana keluarga enggan memaklumkan kepadanya disebabkan bimbang melihatnya kerana dia yang paling rapat dengan arwah.

Katanya, dia juga dimaklumkan yang Muhammad Haziq dipercayai terkena dua tembakan di belakang badan menyebabkannya kehilangan banyak darah tetapi tidak dimaklumkan di mana arwah ditemui.

“Allah SWT lebih sayangkannya kerana meninggal dunia dalam keadaan masih ada wuduk dan dalam masjid.

“Selain itu kami sekeluarga di sini bercadang mengadakan solat ghaib untuk arwah selain majlis bacaan Yasin dan tahlil untuk arwah bermula malam ini,” katanya.

Dalam pada itu, Zarina turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana membantu menguruskan segala urusan untuk Mohd Tarmizi dan anaknya di sana.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Disiarkan pada: March 21, 2019 @ 7:21pm
    d