mutakhir

Jurutera pengsan hidu toksid bocor

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

SEORANG lelaki berusia 30 tahun pengsan dan dikejarkan ke hospital selepas sampel sisa toksik yang diletakkan dalam makmal di Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor di Taman Tampoi Indah 2, Johor dilaporkan mengalami kebocoran.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang tadi, semua petugas yang berada di bangunan JAS diminta meninggalkan bangunan selepas pihak bomba mengeluarkan arahan mengosongkan bangunan.

Pegawai Unit Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Mohd Hairinizam Mostapa berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 4.28 petang.

Katanya, seramai sembilan anggota bersama tiga jentera diarahkan ke lokasi kejadian yang terletak di Jalan Pertama di Pusat Perdagangan Utama, Taman Tampoi Indah 2 di sini.

“Bomba menerima panggilan daripada JAS Jabatan memaklumkan terdapatnya kebocoran sampel sisa toksik di dalam makmal jabatan itu.

“Terdapat seorang mangsa yang pengsan dan sudah dihantar ke hospital oleh orang awam.

“Pasukan HAZMAT yang berada di lokasi membuat penyahcemar serta membuat kekangan terhadap sisa toksik itu daripada merebak,” katanya.

Beliau berkata, siasatan terhadap kes itu masih dijalankan dan operasi ditamatkan pada jam 6.53 petang tadi.

Sementara itu, Pengarah JAS negeri, Datuk Dr Muhammad Ezanni Mat Salleh mengesahkan mangsa yang pengsan adalah penolong jurutera di jabatan itu.

“Mangsa sedang bekerja di makmal itu. Dia pengsan disebabkan terhidu bau bahan kimia yang meruap naik dan terus dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan dan keadaannya stabil.

Disiarkan pada: March 21, 2019 @ 7:34pm
d