mutakhir

'Syukur Allah SWT selamatkan anakku'

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

“MUJUR suami pantas memeriksa rumah dan mengejutkan dua anak yang sedang tidur, jika tidak entah apalah nasib mereka,” kata Isma Zawani Ismail, 40.

Isma Zawani dan tujuh ahli keluarganya tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Kampung Pelong, Permaisuri musnah dalam kebakaran 3.30 petang hari ini berpunca dari rumah kakaknya yang terletak bersebelahan.

Menurutnya, ketika kejadian dia keluar menaiki kereta ke rumah pengasuh bayinya, Norjannah Sofea Mohd Supe, dua bulan, yang terletak berhampiran kerana bimbang selepas dimaklumkan anaknya itu asyik menangis.

“Sebelum keluar, dua anak, Nursafia Balqis, 17, dan Putri Rania Anis Sofea, 11, tidur di rumah selepas kepenatan pulang sekolah manakala seorang lagi anak, Nurwardina Safiah, 15, berada di kedai makan kami.

“Saya tinggalkan mereka dan membawa dua anak, Muhammad Arash Putra, 5, dan Nuraishah Sofea, 12, ke rumah pengasuh untuk melihat keadaan Norjannah Sofea selepas pengasuh beritahu dia asyik menangis.

“Berderau darah saya apabila terima panggilan daripada Nursafia Balqis memaklumkan rumah terbakar dan dia bertanyakan dua lagi adiknya kerana dia tak tahu saya bawa mereka bersama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Isma Zawani yang berniaga makanan barat di kedai bersama suaminya, Mohd Supe Awang Ahmad, 51, berkata, walaupun kehilangan harta benda dan tempat tinggal, dia bersyukur dua anaknya yang ketika itu tidur di dalam rumah selamat.

“Syukur Allah SWT selamatkan anak kami. Mereka tak sedar kebakaran itu sehinggalah dikejutkan bapa yang memeriksa rumah sebaik nampak api di rumah bersebelahan.

“Rumah kakak tidak berpenghuni cuma anaknya sekali sekala datang menjenguk rumah. Api merebak terlalu cepat berikutan cuaca terik dan angin kuat.

“Selepas menyelamatkan anak, suami hanya sempat menyelamatkan kereta dan televisyen.

“Tiga anak kami akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Penilaian Taksiran Tingkatan Tiga dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah tahun ini dan semua kelengkapan sekolah hangus terbakar,” katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Mustafa Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan 3.48 petang sebelum dua jentera dan 17 pegawai dan anggota dari BBP Setiu dengan bantuan BBP Jertih dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi dua minit kemudian kebakaran sudah menjejaskan dua rumah separa kayu dan batu dan api berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh setengah jam.

“Siasatan awal tidak menolak punca kebakaran akibat litar pintas dari kediaman bersebelahan yang tiada penghuni ketika kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2019 @ 8:29pm
d