mutakhir

Warga emas OKU maut sesak nafas

Oleh Nor Farhani Che Ad

“SAYA cuba ke bilik pak long (Mansor Yahya, 60) berdekatan dapur, namun tidak dapat mendekati biliknya kerana api marak di hadapan pintu,” kata Mohd Azim Abdul Wahab, 22.

Itu diceritakan Mohd Azim mengenai kecelakaan yang menimpa datuk saudaranya, Mansor yang maut akibat sesak nafas dalam kejadian kebakaran di Taman Cengal Indah, Sungai Petani, hari ini.

Mansor yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Mohd Azim berkata, dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, dia terjaga daripada tidur apabila terdengar bunyi kaca pecah dan berasa bahang dari luar pintu bilik tidurnya.

Menurutnya, apabila membuka pintu bilik, dia melihat api menjulang tinggi di dapur dan cuba menyelamatkan Mansor di biliknya berdekatan dapur itu.

“Akibat api yang mula marak, saya keluar dari rumah dan meminta pertolongan orang ramai untuk menyelamatkan pak long, namun tiada siapa dapat masuk ke rumah kerana api sudah mula membakar ruang depan rumah.

“Ketika itu, saya hanya mampu berserah pada takdir sehinggalah bomba tiba dan menyelamatkan pak long,” katanya kepada wartawan Harian Metro, hari ini.

Selepas Mansor diselamatkan, Mohd Azim berkata, dia pada mulanya bersyukur apabila dimaklumkan datuk saudaranya itu hanya sesak nafas sebelum dikejarkan di Hospital Sultan Abdul Halim untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, katanya, dia terkejut apabila diberitahu datuk saudaranya itu sudah meninggal dunia kira-kira 1 tengah hari ini ketika menerima rawatan di hospital.

“Saya sedih apabila dimaklumkan pak long meninggal dunia. Kami sudah tinggal bersama lebih 10 tahun, tetapi saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Katanya, dalam kejadian itu, sebahagian rambutnya turut terbakar ketika cuba keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Syufa’at Kamaron yang ditemui di tempat kejadian berkata, ketika diselamatkan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dipercayai terhidu asap kebakaran.

“Mangsa tidak mengalami kecederaan fizikal kerana api tidak sempat masuk ke ruang bilik tidur mangsa.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kebakaran dipercayai berpunca akibat litar pintas, namun siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2019 @ 8:35pm
d