mutakhir

Abang bomba berkorban demi `meow'

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

SEEKOR kucing yang terperangkap di balkoni tingkat 10, Flat Sri Kelantan, Kuala Lumpur, berjaya diselamatkan anggota bomba dan penyelamat yang berusaha menyelamatkan haiwan itu hampir sejam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 dari pemilik kucing pada jam 11.20 pagi.

Berikutan itu pihaknya mengarahkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul ke tempat kejadian bersama sebuah jentera.

Seramai lapan anggota bomba dihantar ke lokasi diketuai Pegawai Bomba Kanan 11, Othman Abu Bakar.

“Setibanya di tempat kejadian, kami mendapati seekor kucing terperangkap di balkoni di tingkat 10 kediaman 18 tingkat itu.

“Anggota bomba cuba menangkap kucing itu menggunakan jaring kayu namun kucing itu bergerak lebih jauh ke tengah balkoni,” katanya.

Menurutnya, kucing itu bagaimanapun bertindak melompat sebelum melayang jatuh atas kanvas yang disediakan anggota bomba di tingkat bawah kediaman.

“Kucing itu berjaya diselamatkan dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.21 tengahari,” katanya dalam satu kenyataan tadi.

Disiarkan pada: March 21, 2019 @ 8:51pm
d