mutakhir

UIC pencetus kejayaan

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

“WALAUPUN keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekadar cukup makan, saya tidak pernah putus semangat.

“Sekalung penghargaan buat kolej yang membantu kejayaan saya,” kata Siti Nursyafieqah Abu Bakar, 27, graduan Diploma Perakaunan dengan Program Usahasama Universiti Teknologi Mara (UITM) dari Kolej Antarabangsa Unifield (UIC) kampus Nilai, Pajam, di sini.

Siti Nursyafieqah berkata, ketika SPM pada 2010 dia hanya memperoleh 2A berbanding rakan lain yang lebih cemerlang.

“Saya memilih menyambung pengajian di UIC pada 2012 hingga 2014 kerana kampus memiliki kemudahan lengkap, sistem pengajian yang baik dan pensyarah yang berdedikasi.

“Berkat bimbingan tenaga pengajar, saya meraih Anugerah Dekan setiap semester dan Anugerah Naib Canselor sewaktu konvokesyen di Universiti Teknologi Mara (UiTM) siri 79 pada 2015,” katanya.

Menurut Siti Nursyafieqah, berkat sokongan pihak kolej, dia kini berkhidmat sebagai Penyelia Agensi (Bahagian Pelaburan) di CIMB dan Penolong Pengurus Audit di AIA Public Takaful.

Penulis buku Tip Kewangan Viral itu juga kerap diundang menjadi tetamu di TV9 dan mendapat liputan media berkongsi dunia pekerjaan.

“Saya tidak akan melupai UIC kerana ia pencetus kejayaan hari ini,” katanya.

Graduan Diploma Seni Kulinari, Muhammad Firdaus Yahya, 23, yang menuntut di UIC pada November 2014 hingga Disember 2017, kini bekerja sebagai Ketua Cef Pastri di sebuah kedai bakeri.

Katanya, ilmu dimiliki di kolej memahirkannya menghasilkan pastri yang memberi pendapatan mencecah ribuan ringgit.

“Sepanjang pengajian, saya diterapkan aspek keusahawanan dan diberi galakan menceburi perniagaan,” katanya.

Muhammad Firdaus menyarankan lepasan SPM mengikuti pengajian di UIC kerana ia bukan saja mengajar teori bahkan kemahiran yang boleh diguna ketika bekerja.

“Dulu saya fikir belajar kulinari sekadar jadi tukang masak rupa-rupanya boleh menjadi ketua dan pemeriksa kualiti makanan dengan gaji lumayan,” katanya.

Graduan Dipoma Syariah, L Ilham Ruddy berkata, dia mengikuti pengajian pada Disember 2014 hingga Disember 2017 dan kini menyambung Ijazah Sarjana Muda Syariah di Universitas Islam Negeri Sultan Thaha Saifuddin Jambi, Indonesia.

Bekas Imam 3 Masjid As-Siddiqin, Mantin, di sini, itu berkata, walaupun tiada asas Bahasa Arab, pengajian di UIC menekankan kepentingan ilmu hadis dan al-Quran hingga berjaya.

“UIC membentuk jati diri dan saya turut menerima biasiswa Yayasan Pendidikan Bumpitera (YPB) untuk pengajian ijazah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan UIC, Mohd Asna Amin berkata, pihaknya bekerjasama dengan Yayasan Pendidikan Bumiputera (YPB) bagi menawarkan biasiswa kepada penuntut sijil dan diploma yang berkelayakan.

“Pengajian di UIC sangat menarik tambahan pula hubungan antara rakan dan pensyarah begitu akrab. “Kedudukan UIC tidak jauh dari Port Dickson dan Kuala Lumpur membolehkan pelajar melakukan aktiviti pada musim cuti,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh layari www.uic.edu.my atau hubungi 013-6665135.

Disiarkan pada: March 22, 2019 @ 7:03am
d