mutakhir

Bantulah sumbang telaga tiub di Merbok

Oleh Nor Farhani Che Ad

MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Wilayah Utara bercadang membina tiga telaga tiub di Merbok bagi menangani masalah air di kawasan itu.

Pengurusnya Muhammad Shukri Saari berkata, cadangan itu bakal dilaksana dengan kerjasama Yayasan Isra’ Malaysia dengan setiap telaga berkos RM4,000.

Untuk itu, pihaknya mengajak orang ramai untuk turut sama menyumbang kepada pembinaan telaga itu.

“Selalunya masyarakat melihat MAPIM banyak jalankan misi bantuan kemanusiaan ke luar negara, tapi hakikatnya kami sentiasa cakna dengan masalah yang berlaku dalam negara juga.

“Susulan masalah air di Parlimen Merbok, kami mengambil inisiatif menjalankan kutipan dana dengan memberi peluang kepada mereka yang berkemampuan untuk bersama menyumbang bagi menjalankan projek telaga tiub di kawasan yang terjejas,” katanya.

Beliau ditemui ketika melawat Madrasah Zubaidiyah Merbok dekat Sungai Petani yang menyediakan sumber air bukit kepada penduduk secara percuma, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Hanif Ghazali.

Muhammad Shukri berkata, telaga tiub di Merbok akan dijadikan projek perintis sebelum ia diperluaskan ke kawasan lain yang memerlukan

Bagi mereka yang ingin menyumbang boleh menyalurkan ke akaun bank Al Rajhi 15400-1880630425 nama MAPIM atau akaun Maybank Yayasan Isra’ Malaysia 5520 9523 0206 mahupun, menghubungi talian 019-7585658.

Sementara itu, Hanif berkata, setakat ini dua telaga gali siap dibina di kawasan Tanjung Dawai iaitu di Kampung Telaga Cina dan juga Kampung Bagan Belat untuk tangani masalah air.

“Walaupun ia hanya penyelesaian jangka pendek, sekurang-kurangnya ia dapat meredakan keresahan penduduk yang sukar dapat air bersih ketika ini.

“Selain telaga gali, Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Tanjung Dawai turut menaik taraf tangki telaga tiub sedia ada dan memasang paip bagi saluran air bukit melalui sumbangan daripada pelbagai pihak,” katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2019 @ 9:29am
d