mutakhir

WhatsApp punya pasal

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

SEORANG jawatankuasa masjid di Sendayan di sini, cedera di muka dan perut akibat diterajang seorang lelaki hanya kerana berang dua rakannya dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp.

Pada kejadian jam 1.45 tengah hari kelmarin, mangsa yang berusia 61 tahun, sebelum itu menunaikan solat Zohor berjemaah sebelum didatangi lelaki yang berusia 40-an dalam keadaan marah.

Sumber polis berkata, suspek dikatakan tidak berpuas hati dan bertanyakan sebab dua rakannya dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp.

“Mangsa memaklumkan mengeluarkan nombor telefon itu kerana mereka sering berkongsi mengenai kontroversi politik yang tiada kesudahan.

“Berang dengan tindakan itu suspek menumbuk muka dan menendang mangsa,” katanya.

Katanya, beberapa jemaah yang menyaksikan kejadian membantu meleraikan pergaduhan.

Sumber berkata, mangsa yang cedera membuat laporan di Balai Polis Mambau di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Katanya, kes diselesaikan secara baik membabitkan kedua-dua pihak.

“Kita (polis) tidak membuka kertas siasatan kerana mereka sudah menyelesaikan kes secara baik,” katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2019 @ 10:00am
d