mutakhir

Penuntut maut kemalangan ngeri

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Mohd Khidir Zakaria

PENUNTUT Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) maut digilis di Kilometer 14.9, Lebuhraya PLUS berhampiran Bandar Springhill, Port Dickson, 12.55 tengah malam tadi.

Muhammad Izzul Akmal Azmi, 19, yang menunggang motosikal sebelum itu terbabit kemalangan dengan empat lagi kenderaan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, ketika kejadian mangsa dan dua rakan, Awang Fitri Amirul Reza Awang Halil, 19, dan Abdullah Hasyimi Mohd Syukri, 19, masing-masing menunggang motosikal dari arah Seremban ke Port Dickson.

“Sebaik tiba di lokasi, motosikal mangsa dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan mangsa terjatuh di atas jalan raya.

“Rakannya gagal mengelak, melanggar mangsa dan dua lagi kenderaan lain. Mangsa meninggal dunia serta merta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Aidi Sham berkata, dua rakan mangsa cedera di muka dan badan dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban, manakala dua pemandu kereta berusia 25 dan 53 tahun tidak cedera.

“Mayat mangsa yang berasal dari Taman Desa Permai, Pedas, Rembau akan dibedah siasat di HTJ hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2019 @ 10:46am
d