mutakhir

Sebut semula kes Najib 3 April

Oleh Murni Wan Omar

MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur, menetapkan 3 April ini untuk sebutan semula kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas tujuh pertuduhan membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup memaklumkan bahawa Mahkamah Rayuan sudah membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan sementara perbicaraan itu.

Menurut Manoj, ia berikutan Najib mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan menolak tiga rayuan interlokutorinya membabitkan syarikat SRC.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir bagi mewakili Najib.

Tiga rayuan interlokutori terbabit adalah permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk mendapatkan perintah bagi melarang media dan orang ramai daripada membincang dan menerbitkan kenyataan mengenai merit kesnya.

Dalam keputusan di Mahkamah Rayuan itu mahkamah membenarkan rayuan Najib untuk mendapatkan surat pelantikan peguam, Datuk Sulaiman Abdullah bagi mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan kes berkenaan.

Pada 4 Julai 2018, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama daripada dana serupa.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: March 22, 2019 @ 2:23pm
d