mutakhir

Sawah kering kontang

Oleh Nor Amalina Alias

SERAMAI 2,509 petani yang mengusahakan tanaman padi seluas 6,899 hektar di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berisiko terjejas teruk jika cuaca kemarau terus berlarutan.

Pemangku Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris berkata, cuaca panas itu turut menyebabkan air Sungai Kelantan menyusut sekali gus pam Kemubu tidak dapat mengairi keseluruhan 24,374 hektar tanaman padi di kawasan Kota Bharu Selatan, Kota Bharu Utara, Pasir Puteh dan Bachok, sejak sebulan lalu.

Katanya, berikutan itu pihaknya mengambil beberapa inisiatif, antaranya membina sistem perpaipan sepanjang 450 meter untuk mengairi 70 hektar kawasan padi di Kampung Gua dan Kampung Betong yang menelan kos hampir RM100,000 dan ia dijangka beroperasi Ahad ini.

“Kita salir air dari sungai terus ke kawasan bendang dan kawasan berisiko kering lain pula, kita bantu menyediakan pam ‘backwards’, membina tiub telaga serta bantuan diesel bagi mengelakkan padi yang ketika ini berusia 40 hingga 60 hari daripada rosak akibat kemarau.

“Kita juga membuat permohonan kepada Jabatan Meteorologi untuk membuat pembenihan awan jika kemarau ini berlarutan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di lokasi sawah yang kekeringan di bendang Kampung Aur Duri, Kota Bharu hari ini.

Nik Roslan berkata, bagi kawasan bendang Aur Duri, pihaknya menyediakan 77 pam ‘backwards’ kepada 30 petani yang dalam kebimbangan menghadapi padi ‘kemarau’ membabitkan keluasan lebih 200 hektar.

“Dalam keadaan cuaca panas yang berpanjangan ini, KADA dan petani akan bekerjasama memastikan padi yang mula ditanam awal Januari lalu dapat dikutip hasilnya menjelang Mei atau Jun ini.

“Kami mengucapkan terima kasih atas kesanggupan petani membina perpaipan sendiri bagi mengelakkan lebih banyak kerugian hasil padi,” katanya.

Sementara itu, petani, Ismail Abdul Rahman, 66, berkata, masalah tanaman padi di bendang Aur Duri adalah paling teruk terjejas selepas banjir besar melanda negeri itu pada 2014.

“Tahun ini paling teruk selepas 2014 kerana jika biasanya kami dapat mengutip hasil sekitar RM10,000 hingga RM30,000 semusim, namun jika masalah ini berterusan, kami akan hilang hasil terbabit.

“Kalau dulu, petani rugi sebab tanaman rosak akibat banjir besar namun sekarang sebab tak ada air pula.

“Jika semakin teruk, petani berpakat membuat saliran paip dari Sungai Kelantan menggunakan tiga batang paip berukuran lapan inci dengan kos dalam RM10,000.

“Itupun kami hutang dulu dengan kedai dan janji bayar selepas dapat hasil padi, sebelum sawah menjadi kering kontang,” katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2019 @ 3:29pm
d