mutakhir

Koleksi video lucah makan diri [METROTV]

Oleh Mohd Hilmie Hussin

LELAKI warganegara Bangladesh dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan menyimpan koleksi video lucah di dalam telefon bimbit miliknya pada awal Februari lalu.

Tertuduh Halim Miah, 27, mengaku bersalah di depan Majistret Teoh Shu Yee, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Bangladesh.

Mengikut pertuduhan, Halim didakwa memiliki rakaman video lucah yang tersimpan dalam telefon bimbit jenis Asus berwarna hitam, di Pejabat Agama Islam Melaka, Kompleks Perniagaan Al-Azim, Bukit Palah, Melaka pada jam 3.30 petang, 9 Februari lalu.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman penjara yang rendah dan mahu segera dihantar pulang ke negara asal untuk bertemu keluarga serta anak-anak.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal yang mengendalikan prosiding, mencadangkan kepada mahkamah untuk mengenakan hukuman setimpal dan memberi pengajaran kerana kes terbabit amat serius.

Selepas mendengar hujah kedua-kedua pihak, Teoh memerintahkan tertuduh dipenjara setahun bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 9 Februari lalu.

Disiarkan pada: March 22, 2019 @ 3:53pm
d