mutakhir

'Bangsal usang ini istana kami'

Oleh Badrul Kamal Zakaria

KEDAIFAN hidup memaksa pasangan suami isteri warga emas menjadikan bangsal usang beratapkan kanvas sebagai tempat mereka berteduh sejak 10 tahun lalu.

Hanafi Abdullah, 70, terpaksa mendiami bangsal usang dan sempit itu selepas rumah pusaka didiaminya sebelum ini tidak dapat dihuni lagi kerana sudah rosak.

Menurutnya, rumah pusaka tinggalan arwah keluarga yang dibina lebih 80 tahun lalu itu sudah terlalu uzur dan tidak selamat didiami.

Lantaran itu, Katanya, dia memutuskan untuk menjadikan bangsal itu sebagai tempat berlindung kerana bimbangkan keselamatan, terutama isterinya, Patmah Abdullah, 51.

“Struktur rumah pusaka itu reput dan pernah suatu ketika dahulu berlaku ribut hingga zink rumah tercabut, dinding dan lantai rosak teruk.

“Saya bimbang rumah pusaka itu tidak lagi selamat diduduki, justeru saya dan isteri berpindah ke bangsal di belakang rumah.

“Kami menggunakan bahagian dapur rumah (pusaka) sahaja untuk memasak, itu pun rasa takut kerana sudah rosak teruk,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Tengah, Muar, hari ini.

Tinjauan mendapati bangsal yang tidak berdinding itu bukan sahaja kecil malah dalam keadaan usang dan tidak selamat diduduki apabila bahagian kayunya dilihat reput.

Lebih membimbangkan, bangsal itu dikelilingi belukar dan boleh menyebabkan risiko kerana terdedah ancaman haiwan liar seperti ular.

Begitupun, Hanafi berkata, dia bersyukur kerana masih mempunyai tempat berlindung walaupun hanya sebuah bangsal yang sempit.

Cuma, katanya, dalam usia yang sudah mencapai 70 tahun, ia menyukarkannya mencari rezeki untuk menyara keluarga.

Menurutnya, kini dia hanya mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan untuk menyara hidup.

“Masa muda dahulu saya kerja kampung dan mencari barang lusuh.

“Kini, kudrat saya tidak mengizinkan dengan mata kiri sudah tidak dapat melihat lagi,” katanya.

Menurut Hanafi, ada kalanya dia membantu orang kampung melakukan kerja ringan untuk mencari wang saku.

“Dapatlah RM10, RM20. Alhamdulillah, ada juga wang untuk belanja makan.

“Nak harapkan anak, mereka pun bukan orang senang dan ada tanggungjawab terhadap keluarga masing-masing.

“Mereka pun ada bantu saya tetapi sekadar yang mereka mampu dan saya faham serta bersyukur dengan apa yang ada.

“Alhamdulillah, selain itu ada kenalan membantu saya dan isteri. Dapatlah kami meneruskan kehidupan seadanya,” katanya.

Sementara itu, kenalan pasangan berkenaan, Asiah Ali berkata, dia dan keluarganya juga cuba membantu pasangan warga berkenaan yang dianggap mereka sebagai ibu bapa angkatnya.

Bagaimanapun, katanya, mereka hanya dapat membantu sekadar yang termampu keluarga mereka.

Setakat ini, katanya, dia bersama suami, Ab Latif Ab Aziz, 62 dan anak, Amirulrezza, 25, ada bergotong royong membaiki atap bangsal yang bocor, selain menyediakan perkakas dapur terpakai.

“Selain itu, ada juga rakan yang membantu membersihkan bangsal dan dapur mereka serta memberikan perkakas terpakai supaya mereka berdua boleh hidup dengan lebih selesa,” katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2019 @ 7:10pm
d