mutakhir

'Jika ibu lapor, angkat saja mayat saya nanti'

Oleh Hasbi Sidek

“KALAU ibu laporkan kepada pihak sekolah, ibu hanya akan angkat mayat saya nanti,” itu penjelasan menakutkan yang keluar dari mulut pelajar lelaki kepada ibunya.

Pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Lian, 13, memberi reaksi itu kepada ibunya selepas menjadi mangsa buli di sekolahnya.

Dalam kejadian malam Jumaat lalu, Lian dibelasah sekumpulan pelajar di asrama sebuah sekolah persendirian dekat Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Kejadian itu menyebabkan Lian lebam pada kemaluan dan kaki, selain trauma.

Ibunya yang mahu dikenali sebagai Yeo, 43, berkata, anaknya kini enggan berjumpa dan bercakap dengan orang lain serta hanya terperuk di rumah kesan daripada kejadian itu.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian itu Sabtu lalu ketika mengambil anaknya dari asrama sekolah berkenaan sebelum mendapati anaknya berjalan dalam keadaan tempang dan perlahan.

“Saya bertanyakan kepada dia mengenai keadaannya, namun dia enggan menceritakan.

“Dalam keadaan menangis, dia mula bercerita bahawa kira-kira 11 malam Jumaat lalu, dia dibelasah sekumpulan pelajar senior.

“Mereka menarik anak saya ke tandas dan menyimbah air ke badan sebelum menariknya masuk ke bilik semula dan memukulnya.

“Anak saya dipukul beramai-ramai sekitar kemaluan dan kaki ketika lampu (asrama) sudah ditutup,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bandar Mahkota Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

Yeo berkata, dia mahu melaporkan perkara itu kepada sekolah, namun anaknya ketakutan dan menghalangnya melakukan tindakan itu kerana menganggap akan memburukkan lagi keadaan.

“Ada pelajar yang memberi amaran kepada dia agar tidak melaporkan kejadian kepada sekolah jika tidak mahu dipukul lagi.

“Dia cakap saya akan jumpa mayat dia jika perkara itu dilaporkan kepada pihak sekolah,” katanya.

Menurutnya, dia sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu, namun pihak sekolah berjanji menyelesaikan perkara terbabit.

“Bagaimanapun, sehingga hari ini, pihak sekolah seolah cuba menyembunyikan kejadian itu sedangkan anak saya separuh mati dibuli.

“Dia juga mengalami gangguan emosi yang teruk jadi saya mahu polis membuat siasatan,” katanya.

John Das, peguam yang mewakili Yeo berkata, pihak sekolah sepatutnya lebih bertanggungjawab kerana kejadian itu memberi kesan teruk kepada mangsa dari segi fizikal serta emosi dan mungkin boleh membawa kepada kematian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu dan sedang melakukan sedang siasatan.

Disiarkan pada: March 22, 2019 @ 10:32pm
d