mutakhir

Anak penyu lipas dilepaskan

Oleh Siti Sofia Md Nasir

PROGRAM pelepasan 70 anak penyu spesies lipas di Pantai Pasir Belanda di Gertak Sanggul, Balik Pulau hari ini menarik perhatian puluhan penduduk dan pengunjung pantai itu.

Program anjuran Jabatan Perikanan Pulau Pinang itu dianggap istimewa oleh penduduk setempat berikutan penyu lipas yang juga spesis terancam itu hanya mendarat di pantai berkenaan, dengan kali terakhir direkodkan pada 2015.

Pengarah Perikanan negeri, Noraisyah Abu Bakar berkata, pihaknya melepaskan 70 ekor anak penyu daripada induknya yang mendarat dan bertelur di pantai itu pada 18 Februari lalu.

“Kami menerima panggilan daripada seorang pengusaha restoran makanan laut di sini yang memaklumkan menemui sejumlah telur penyu berdekatan restorannya.

“Jadi kami berusaha mengambil semua telur terbabit dan membawanya ke Pusat Konservasi Penyu Pantai Kerachut di Teluk Bahang sehingga ia menetas,” katanya hari ini.

Noraisyah berkata, pihaknya memilih untuk melepaskan anak penyu terbabit di kawasan asal induknya bertelur kerana penyu mempunyai daya ingatan semula jadi untuk mengingati habitat asalnya.

Katanya, kawasan pantai Pulau Pinang terutamanya di perairan selatan negeri itu adalah satu-satunya pusat pendaratan penyu spesis lipas di Malaysia selain spesis agar.

“Kami gembira melihat reaksi orang ramai yang teruja melihat anak penyu ini kembali ke laut.

“Kami harap program seperti ini dapat menimbulkan kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan haiwan terancam,” katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2019 @ 10:53pm
d