mutakhir

[UPDATE] Wanita warga Thailand maut dihempap bas terbalik [METROTV]

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

KEMALANGAN membabitkan bas yang terjunam ke dalam gaung di Kilometer 228.4, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) lewat petang hari ini mengakibatkan penumpang wanita warga Thailand maut.

Warga emas berusia 60-an itu dihempap bas persiaran yang terbalik di dalam gaung berkenaan dan mayatnya ditemui 10.40 malam tadi selepas usaha mengangkat bas terbabit berjaya dilakukan dengan menggunakan dua kren.

Terdahulu, nasib wanita terbabit tidak diketahui apabila gagal ditemui oleh anak perempuannya sejurus bas berkenaan terbabas dan terbalik dalam gaung 6.50 petang tadi.

Maklumat mengenai wanita terbabit dimaklumkan oleh anaknya itu yang turut sama menaiki bas berkenaan yang dalam perjalanan dari Hatyai, Thailand menuju ke Ipoh, dekat sini.

Anak wanita itu berkenaan yang berusia 40-an yang turut cedera enggan ke hospital kerana ingin menunggu di lokasi kemalangan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan ibunya.

Kemalangan itu difahamkan mengakibatkan 20 mangsa lain, termasuk pemandu cedera dengan sekurang-kurangnya tiga daripadanya parah dan dihantar ke Hospital Kuala Kangsar dan Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan.

Seorang penumpang Wong Chien Cheng, 55, berkata, dia dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas bercuti bersama beberapa ahli keluarga dan rakan di Hatyai selama satu hari.

“Ketika kejadian saya berasakan bas seperti tidak stabil sebelum terus hilang kawalan dan terbabas serta terbalik.

“Saya cedera pada belakang badan akibat hentakan kerusi bas,” katanya yang ditemui di lokasi kemalangan.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian yang berlaku di lebuh raya PLUS arah selatan berhampiran Bukit Berapit dari Changkat Jering menuju Kuala Kangsar di Taiping itu pada 6.57 petang.

Katanya, sepasukan anggota dengan satu jentera dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) digerakkan.

“Setibanya pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping di lokasi mendapati kemalangan membabitkan sebuah bas yang terbabas ke dalam gaung.

“Maklumat awal mendapati terdapat 21 mangsa terbabit dalam kemalangan ini,” katanya.

Berita berkaitan

Bas terbabas masuk gaung

Disiarkan pada: March 22, 2019 @ 11:09pm
d