mutakhir

Nurul Izzah letak jawatan anggota PAC

Oleh BERNAMA

AHLI Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar meletak jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), hari ini.

“Ya, saya mengesahkan dia (Nurul Izzah) sudah menarik diri daripada PAC,” kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil ketika dihubungi Bernama.

Tindakan Nurul Izzah dipercayai berpunca daripada keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengekalkan Pengerusi PAC dipegang Datuk Seri Ronald Kiandee.

Ronald kekal sebagai Pengerusi PAC meskipun Ahli Parlimen Beluran itu tidak lagi menjadi wakil rakyat pembangkang selepas menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ronald meninggalkan UMNO tahun lalu untuk menjadi Ahli Parlimen bebas sebelum diterima sebagai ahli BERSATU minggu lalu.

Langkah mengekalkan Ronald sebagai Pengerusi PAC ditentang pemimpin Pakatan Harapan (PH) Hannah Yeoh serta Nurul Izzah.

Nurul Izzah dalam catatan Facebooknya hari ini berkata, “Pengerusi PAC mesti diisi pembangkang untuk meneruskan akauntabiliti eksekutif.”

PH sebelum ini berjanji supaya jawatan Pengerusi PAC dikhaskan kepada wakil rakyat pembangkang.

Disiarkan pada: March 23, 2019 @ 12:51am
d