mutakhir

Lanjut reman suspek Sungai Kim Kim

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

LAPAN suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembuangan sisa bahan kimia ke Sungai Kim Kim, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang akan disambung reman, kata Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Beliau berkata, pihaknya membuat permohonan tambahan tempoh reman itu bagi membolehkan kertas siasatan dilengkapkan dengan sebaik-baiknya.

“Kita akan pohon lanjutan reman sehari atau dua hari lagi kerana ada sedikit lagi siasatan perlu dibuat.

“Saya berpuas hati dengan siasatan setakat ini, tetapi ada beberapa perkara perlu dilakukan untuk melengkapkan kertas siasatan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Kepada Pegawai Polis dan Anak-anak Warga Polis Berketurunan India Yang Cemerlang Dalam Akademik sempena Peringatan Hari Polis Ke-212 Tahun 2019 di Johor Bahru, hari ini.

Mohd Khalil berkata, Ahad ini, pihaknya akan mengadakan sidang media khas berhubung siasatan kes berkenaan.

Ahad minggu lalu, sembilan suspek ditahan selepas disyaki terbabit dalam kejadian itu sebelum lapan daripadanya direman enam hari bermula Isnin dan tamat pada hari ini.

Seorang daripada sembilan suspek itu pula dilepaskan dengan jaminan polis selepas didapati tiada kaitan dengan insiden berkenaan.

Pada Selasa, dua lagi suspek ditahan selepas disyaki menjadi orang yang bertanggungjawab membenarkan suspek terdahulu mengangkut sisa bahan kimia untuk proses pembuangan di sungai terbabit.

Bagi dua suspek ini, reman masih berjalan sehingga Isnin.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Disiarkan pada: March 23, 2019 @ 9:00am
    d