mutakhir

Sindiket judi online tumpas

Oleh BERNAMA

SERAMAI 114 individu warga China ditahan, disyaki terbabit dengan kegiatan judi dalam talian membabitkan wang pertaruhan jutaan ringgit sehari, dalam serbuan di sebuah kondominium mewah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.

Mereka yang ditahan dalam operasi lebih tiga jam bermula 9.30 malam itu terdiri daripada 93 lelaki dan 21 wanita.

Asisten Komisioner Hamzah Buman yang mengetuai operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berkata, semua mereka yang berumur antara 20 dan 55 tahun itu bertugas sebagai operator sindiket yang dipercayai menjalankan kegiatan itu lebih sebulan lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mereka menggunakan tujuh unit rumah di kondominium berkenaan bagi menjalankan kegiatan itu dengan menggunakan aplikasi media sosial ‘WeChat’ bagi menarik pelanggan dari China untuk melakukan pertaruhan.

“Semasa serbuan, kami dapati enam lelaki sedang berjudi sesama sendiri dan polis merampas wang tunai berjumlah RM44,000, 232 telefon bimbit dan 63 komputer,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Beliau berkata, semua mereka yang ditahan itu memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

Disiarkan pada: March 23, 2019 @ 10:04am
d