mutakhir

Kaji kurangkan kos rawatan kanser

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KEMENTERIAN Kesihatan sedang melakukan kajian terperinci bagi mengurangkan kos rawatan kanser khususnya di hospital swasta.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kajian itu membabitkan pindaan kawalan ubat-ubatan bagi menentukan harga rawatan yang ditetapkan selama ini.

“Usaha ini dilakukan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta agensi lain bagi melihat harga dan kawalan ubat dalam rawatan kanser.

“Namun, bagi kami masa dalam soal ini. Tetapi daripada segi rawatan di bawah fasiliti Kementerian Kesihatan, tidak mempunyai masalah kos kerana segalanya dikawal pihak kementerian,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan program Larian Hari Kanser Sedunia di Institut Kanser Negara di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Dzulkefly menggesa semua rakyat Malaysia tanpa mengira lapisan umur supaya menjalani ujian saringan kanser sejak peringkat awal.

“Kelewatan mengenalpasti kanser dari awal menyukarkan kanser itu dirawat sekali gus mungkin menelan kos yang tinggi.

“Tidak kira anda sesiapa pun atau di mana jua berada, sila jalani ujian saringan pengesanan kanser di mana-mana hospital dan klinik kesihatan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan giat menjalankan pelbagai kempen kesedaran bagi mencegah risiko kanser dalam kalangan rakyat Malaysia termasuk kempen Tak Nak Merokok dan Kurangkan Pengambilan Gula dan Alkohol.

Katanya, kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati hampir 30 hingga 50 peratus kanser mampu dicegah melalui gaya hidup sihat.

Disiarkan pada: March 23, 2019 @ 11:20am
d