mutakhir

PATI larikan diri ditahan semula

Oleh Fardy Bungga

SEORANG lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal, Selasa lalu, ditahan polis di Taman Indah Permai, semalam.

Suspek ditahan pada 4.45 petang selepas disedari bersiar-siar di kawasan berkenaan oleh orang awam yang kemudiannya bertindak menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, hasil daripada maklumat itu, sepasukan polis dikerah ke lokasi dan berjaya menahan suspek.

Katanya, siasatan masih dijalankan untuk usaha mengesan tiga lagi suspek masih bebas, namun pihaknya percaya semua suspek masih berada di dalam kawasan Kota Kinabalu.

“Siasatan awal mendapati semua suspek tidak mengenali secara rapat sesama mereka dan hanya berkenalan ketika dalam tahan di PTS Manggatal.

“Mereka hanya berpakat untuk melarikan diri bersama-sama daripada pusat tahanan itu sebelum berpisah mengikut haluan masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan raptai penuh Sambutan Hari Polis ke 212 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Habibi berkata, polis menyambut baik penyaluran maklumat oleh orang awam dan percaya kerjasama erat antara polis dan masyarakat bukan saja dapat membantu menyelesaikan siasatan kes tetapi juga membanteras sebarang kegiatan jenayah.

Sehubungan itu, Habibi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung tiga lagi individu yang masih bebas supaya segera menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian - 088221191 / 529211, untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian Selasa lalu, lima suspek bertindak melarikan diri dari PTS Manggatal.

Bagaimanapun seorang suspek iaitu Ibni Anani, berjaya ditahan semula oleh pengawal keselamatan sejurus selepas itu.

Disiarkan pada: March 23, 2019 @ 11:53am
d