mutakhir

Keganasan tiada tempat di Malaysia

Oleh Suraya Roslan dan Mohd Rizal Abdullah

TRAGEDI yang berlaku di Christchurch, New Zealand menjadi pedoman dan iktibar untuk semua agama serta kaum di Malaysia untuk bersatu.

Malah, menerusi pentas Perhimpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka hari ini, semua wakil agama di negara ini senada menolak keganasan dan meraikan kedamaian.

Perhimpunan itu adalah susulan serangan di dua masjid di Christchurch pada 15 Mac lalu yang mengorbankan 50 nyawa termasuk seorang rakyat Malaysia, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi.

Selain itu, tiga rakyat Malaysia turut menjadi mangsa insiden adalah Mohd Tarmizi Shuib, Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad, masing-masing parah.

Wakil agama Islam yang juga Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, apa yang berlaku di New Zealand harus diterjemahkan dalam satu bentuk kesatuan dan perlu dijadikan iktibar bagi seluruh rakyat untuk menentang sebarang bentuk kebencian.

Beliau juga meminta supaya rakyat menyuburkan kedamaian.

“Kita ingin kedamaian, inilah diajar dalam al-Quran, kedamaian adalah kunci kebahagiaan dan ia hanya dapat diterjemahkan melalui kesatuan, apabila hati kita saling meraikan dan memahami, bagaimana kita berinteraksi dengan seluruh masyarakat,” katanya dalam ucapan dihadiri ratusan peserta perhimpunan.

Wakil Persekutuan Kristian Malaysia, Julian Leow berkata, rakyat Malaysia perlu menolak dengan jelas keganasan dan segala unsur kebencian.

“Kita berhimpun untuk kedamaian dan keharmonian, sepatutnya bukan hanya disebabkan satu tragedi ini untuk menggerakkan (perpaduan) kita.

“Rakyat Malaysia harus bersatu untuk mengekalkan keharmonian sedia ada, malah menguatkan persahabatan.

“Hari ini kita dapat mesej jelas di seluruh negara supaya mengukuhkan lagi kedamaian dan persahabatan kita sebagai rakyat Malaysia begitu juga semua agama menolak keganasan,” katanya.

Wakil Malaysian Gurdwaras Council, Sardar Jagir Singh berkata, keharmonian dan keamanan yang dikecapi sejak sekian lama di Malaysia harus kekal buat selama-lamanya.

“Kita tolak keganasan dan kebencian. Ingatlah bersatu kita teguh bercerai kita roboh,” katanya.

Datuk RS Mohan Shan dari Malaysia Hindu Sangam juga senada dengan semua wakil agama lain yang menegaskan keganasan tiada tempat di Malaysia.

“Ini adalah hari bersejarah kerana semua pemimpin pelbagai agama berada di satu pentas demi keamanan,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, perhimpunan itu membuktikan seluruh rakyat Malaysia menolak keganasan.

“Ia adalah suara Malaysia kepada seluruh dunia, inilah jalan yang kita pilih iaitu kedamaian. Jadikan ia sebagai budaya orang Malaysia,” katanya.

Solidariti itu turut disertai pihak tertinggi dari Kedutaan New Zealand, Australia dan Turki yang menyokong himpunan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Disiarkan pada: March 23, 2019 @ 11:54am
    d