mutakhir

Jalan sesak di banyak lokasi

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

LEBUH raya utama negara mulai sesak susulan orang ramai yang mengambil kesempatan cuti sekolah untuk keluar dari ibu negara dan bersiar-siar.

Antara laluan sesak adalah Lebuhraya PLUS, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE).

Tinjauan di Plaza Tol Gombak mendapati laluan ke pantai timur itu sesak sejak 10.30 pagi bermula dari Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan di DUKE.

Maklumat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut mengesahkan kesesakan berlaku di dua lokasi KLK iaitu sebelum memasuki terowong Genting Sempah ke kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Genting Sempah dan sebelum keluar Plaza Tol Bentong.

Bagi Lebuhraya PLUS arah selatan, trafik perlahan bermula dari Serdang ke Kajang, Bangi sehingga ke Nilai dan dari Putra Mahkota ke kawasan RnR Seremban.

Sementara arah utara pula, kesesakan berlaku dari Rawang Selatan menuju ke Rawang; Rawang ke Sungai Buaya; Slim River ke Sungkai; Tapah ke Gopeng; Kuala Kangsar ke Bukit Berapit dan dari Bandar Cassia ke Juru.

Arah selatan menuju ke utara lebuh raya itu turut alami situasi sama di Skudai ke Senai dan di Plaza Tol Sungai Besi ke ibu negara.

Bagi laluan Lebuhraya ELITE, trafik perlahan dari Bandar Saujana Putra ke USJ dan dari Putrajaya ke KLIA selain NKVE sesak di Shah Alam ke Setia Alam dan Plaza Tol Subang ke Dataran Prima.

Disiarkan pada: March 23, 2019 @ 2:36pm
d