mutakhir

'Kita dilihat sebagai juara baru'

Oleh Idris Musa

MASYARAKAT dunia melihat Malaysia sebagai model pentadbiran Islam serta juara baru dalam memperjuangkan isu Palestin dan membela kesucian Masjidil Aqsa.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata, mereka berasa amat teruja dengan sumbangan Malaysia dan kagum kerana boleh menawarkan satu model negara dengan cara pentadbiran Islam.

“Mereka amat berbesar hati kerana kita berani bercakap dan berjuang bersama mereka. Mereka melihat Malaysia juara baru dalam isu ini.

“Memandangkan Malaysia (terdiri daripada) pelbagai kaum, mereka rasa begitu teruja kerana negara yang pelbagai kaum bukannya 90 peratus umat Islam boleh membawa agenda maqasid syariah.

“Insya-Allah model Malaysia akan menjadi juara dalam semua bidang. Maksudnya suara Malaysia itu bukan saja terdengar di Malaysia tapi di seluruh dunia. Model pentadbiran, dasar itu juga menjadi model seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Makan Malam Persidangan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Asean Plus Mempertahankan Baitul Maqdis dan Masjidil Aqsa di Bangi, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Masjid Sedunia Mempertahankan Al-Aqsa (MANAR) Datuk Seri Sheikh Ahmad Awang dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Hamid.

Persidangan NGO itu membabitkan lebih 200 peserta dari 20 negara seluruh dunia.

Fuziah berkata, selain bercakap di pentas dunia, Malaysia akan terus membantu dalam isu Palestin termasuk memberi platform untuk mereka dan memberi sokongan kepada sukarelawan Malaysia yang ke sana.

Dalam pada itu, beliau berkata, adalah amat penting dalam mempromosikan kedamaian, semua lapisan masyarakat merapatkan jurang.

“Sebab jurang antara kaum dan agama boleh mencetus kepada ketidakamanan. Jadi, amat penting kita memastikan jurang itu mengecil.

“Kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan ‘rahmatan lilalamin’ dapat dirasai semua warga Malaysia, bukan saja umat Islam. Maksudnya Islam rahmat untuk sekalian alam,” katanya.

Disiarkan pada: March 24, 2019 @ 12:47am
d