mutakhir

Bayar RM95,000

Oleh Hasbi Sidek

WARGA Malaysia Abd Wahab Yahaya, 56, yang berdepan perbicaraan mahkamah di Krabi, Thailand kerana terbabit dalam kemalangan di wilayah Selatan Thailand itu akhirnya mampu menarik nafas lega apabila kes itu selesai pada 19 Mac lalu.

Abd Wahab sebelum itu terpaksa berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Krabi sejauh lebih 1,200 kilometer sejak hampir tiga bulan lalu.

Lebih menggembirakan apabila mahkamah memutuskan Abd Wahab hanya perlu membayar wang pampasan RM95,000 kepada waris mangsa yang maut dalam kejadian itu, selain geran tanah milik rakyat tempatan yang dijadikan jaminan juga sudah dipulangkan semula.

Anak Abd Wahab iaitu Hasanah, 34, berkata mahkamah turut memutuskan untuk mengurangkan denda dengan mengambil kira keadaan kewangan dan perbelanjaan sepanjang proses perbicaraan.

“Waris keluarga mangsa menuntut pampasan sebanyak RM200,000, namun mahkamah memerintahkan hanya perlu menjelaskan bayaran RM95,000 sahaja. Sejumlah besar (pampasan) sudah dilunaskan dan bakinya dibenarkan dibayar secara ansuran bulanan.

“Mahkamah juga mengurangkan denda kepada RM1,300 dan tidak dikenakan hukuman penjara dengan mengambil perhatian terhadap perbelanjaan keseluruhan yang mencecah RM130,000 termasuk pampasan, yuran guaman dan perbelanjaan perjalanan dua minggu sekali antara Malaysia-Thailand,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, cagaran geran tanah milik seorang warga tempatan yang dijadikan jaminan bagi membebaskan bapanya daripada ditahan juga sudah dipulangkan kepada pemiliknya.

“Cagaran geran tanah dan rumah Ismail Madina Halal Food, warga Thailand yang menjamin bapa juga dipulangkan oleh mahkamah pada 19 Mac lalu,” katanya.

Katanya, dia amat berterima kasih kepada media kerana membuat liputan mengenai kejadian itu sehingga mendapat perhatian rakyat Malaysia dan Thailand seterusnya membantu bapanya sehingga kes itu selesai.

“Kejadian ini memberi pengajaran kepada kami sekeluarga supaya lebih berhati-hati ketika berada di negara orang dengan membuat persiapan terlebih dahulu termasuk dari segi perlindungan insurans,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam 19 Disember tahun lalu, Abd Wahab dan isterinya, Junaidah Muhammad Said, 45, dikatakan terlanggar pejalan kaki ketika menunggang motosikal di Jalan Aonang, Krabi menyebabkan mangsa maut.

Mengikut undang-undang di Thailand, penunggang motosikal atau pemandu kenderaan perlu bertanggungjawab jika kemalangan membabitkan pejalan kaki.

Disiarkan pada: March 24, 2019 @ 7:30am
d