mutakhir

Warga emas maut dirempuh kereta

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LELAKI warga emas meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai terbabas di bahu jalan sebelum dirempuh kereta di Lencongan Barat berhampiran Sekolah Agama Daris, di Sungai Petani semalam.

Dalam kejadian 10.15 malam itu, mangsa berusia 60 tahun yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dipercayai dalam perjalanan dari arah Taman Nilam menghala ke Laguna Merbok, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ketika itu mangsa dikatakan menunggang motosikal sendirian sebelum motosikal itu hilang kawalan dan terbabas di tengah jalan.

Beliau berkata, mangsa yang ketika itu masih terbaring di tengah jalan kemudian dirempuh kereta Proton Wira yang dipandu lelaki berusia 23 tahun dari arah sama.

“Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal yang juga peniaga itu meninggal dunia serta-merata di tempat kejadian akibat parah di kepala.

“Bagaimanapun pemandu kereta yang berasal dari Perak itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Adzli berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: March 24, 2019 @ 9:11am
d