mutakhir

OKU cemerlang idam jurusan kejuruteraan mekatronik

Oleh Siti Rohana Idris

PELAJAR orang kurang upaya (OKU) yang memperoleh keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018, mahu mengikuti jurusan kejuruteraan mekatronik bagi membuktikan kecacatan fizikal bukan kekangan untuknya berjaya.

Muhammad Rizdwan Roslan, 18, yang kudung tangan kiri separas siku muncul pelajar terbaik SPM 2018 di sekolahnya dengan memperoleh 9A 1B.

Berikutan itu, laluannya untuk bergelar mahasiswa dalam jurusan kejuruteraan semakin cerah, namun dia masih belum membuat keputusan untuk memilih universiti mana bagi melanjutkan pengajian.

Muhammad Rizdwan yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 2 berkata, dia belum mengisi permohonan UPUonline namun berkemungkinan memilih Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai pilihan pertama.

“Saya juga sudah mendapat tawaran dari Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dalam jurusan yang sama tetapi belum mempertimbangkan lagi mengenainya.

“Saya memilih UIAM kerana di universiti itu tiada syarat untuk calon OKU jadi mungkin ada fasiliti untuk penuntut yang mengalami masalah sama seperti saya,” katanya ditemui di sini, semalam.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia sangat meminati bidang kejuruteraan kerana berhasrat mencipta inovasi pada suatu hari nanti.

Muhammad Rizdwan menegaskan dia, sudah biasa berdikari dan hidupnya juga seperti orang lain yang normal.

“Saya sudah diajar berdikari sejak kecil lagi, malah di rumah, saya turut melakukan kerja rumah seperti ahli keluarga lain termasuk mengemas rumah, membasuh pakaian serta memasak.

“Sebagai anak sulung, itu juga satu kelebihan kerana menjadikan saya lebih bertanggungjawab kepada adik serta keluarga. Saya tidak pernah melihat kekurangan diri sebagai kekangan,” katanya ditemui selepas menghadiri jemputan pertemuan bersama Presiden Institusi Jurutera Malaysia (IEM), David Lai Kong Phoi di Hotel Perdana di sini

Dia yang ditemani ibu bapanya, Rabiah Al Adawiah Zakaria, 47, dan Roslan Abdul Hamis, 50, mendengar nasihat serta pandangan David mengenai pemilihan tempat pengajian dan hala tujunya dalam bidang kejuruteraan.

Sementara itu, David berkata, kekurangan fizikal yang dialami Muhammad Rizdwan bukan masalah yang besar kerana ada universiti yang menyediakan fasiliti kepada golongan OKU, malah potensi dalam bidang kejuruteraan juga terbuka luas.

Disiarkan pada: March 24, 2019 @ 10:01am
d