mutakhir

Alamak, tersangkut tiang lampu pula... [METROTV]

Oleh Fairuz Zaidan

PESERTA terjunan ekstrem sempena program ‘Taming Sari Tower Base Jump 2019’ berdepan detik cemas apabila payung terjunnya tersangkut pada tiang lampu ketika hendak melakukan pendaratan di hadapan Menara Taming Sari, Bandar Hilir, Melaka, malam tadi.

Kejadian 10.30 malam itu mengakibatkan penerjun warga tempatan itu tergantung selama lebih lima minit pada tiang lampu jalan sebelum diselamatkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan tangga khas.

Bagaimanapun, lelaki berusia lingkungan usia 30-an itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya mendapatkan prosedur rawatan biasa daripada pegawai perubatan, selain enggan untuk ditemu ramah wakil media selepas kejadian.

Terdahulu, program sukan ekstrem yang berlangsung selama dua hari berakhir hari ini itu dirasmikan oleh Ketua Menteri, Adly Zahari.

Adly berkata, Melaka menyambut baik penganjuran sukan ekstrem dalam usaha mempelbagaikan lagi tarikan pelancongan sedia ada di negeri ini bersempena sambutan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2019.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedia menilai dari semasa ke semasa beberapa produk pelancongan baharu berunsurkan sukan ekstrem yang terbukti berjaya menarik lebih ramai pelancong baharu ke negeri ini.

“Bagaimanapun, dalam mempelbagaikan promosi pelancongan termasuk sukan ekstrem ini, kita tidak sesekali mengabaikan isu keselamatan dari aspek penganjurannya.

“Ia dibuktikan dengan kejayaan kita menganjurkan beberapa program sukan ekstrem bertaraf antarabangsa di bangunan serta menara tinggi sedia ada di negeri ini,” katanya pada sidang media di Menara Taming Sari, Bandar Hilir, di sini, malam tadi.

Yang hadir sama, EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Program sukan ekstrem membabitkan terjunan dari ketinggian 110 meter dalam tempoh hanya kira-kira lima saat itu berjaya menghimpunkan seramai 32 penerjun profesional dari 11 negara termasuk dari Amerika Syarikat, Australia, Russia, United Kingdom, Jepun, Singapura, Indonesia dan wakil tuan rumah Malaysia.

Selain program Base Jump di Menara Taming Sari, program sukan ekstrem itu terlebih dahulu dianjurkan di The Shore Sky Tower pada 19 hingga 21 Mac lalu bersempena TMM 2019.

Disiarkan pada: March 24, 2019 @ 11:16am
d