mutakhir

Pengarah JAS Johor ada PhD

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

DAKWAAN kelayakan Doktor Falsafah (PhD) Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh sebagai palsu adalah fitnah semata-mata.

Ia berikutan, surat pengesahan kelayakan akademik dikeluarkan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertarikh 22 Mac 2019 menunjukkan Mohammad Ezanni adalah pemegang PhD dalam bidang Kejuruteraan Sistem Elektrik.

Mohammad Ezanni berkata, tohmahan di media sosial itu adalah fitnah dan hanya dibuat pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan terhadap isu pencemaran Sungai Kim Kim yang mendapat perhatian seluruh negara.

“Tohmahan tentang PhD palsu, ia satu fitnah yang mana saya adalah pemegang PhD Kejuruteraan Sistem Elektrik. Semakan di pengkalan data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati nama saya tersenarai sebagai pemegang PhD dalam bidang itu.

“Ini fitnah semata-mata dan saya akan ambil tindakan selanjutnya. Terima kasih kepada pihak media yang faham bahawa isu ini adalah kerana ada pihak mengambil kesempatan atas isu pencemaran Sungai Kim Kim,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Sesyen / Majistret Johor Bahru di Johor Bahru, hari ini.

Merujuk surat pengesahan kelayakan akademik daripada UniMAP itu, Mohammad Ezanni menamatkan pengajian PhD di universiti berkenaan pada 8 September 2015 dan tarikh konvokesyen beliau adalah pada 19 September 2015.

Ditanya berhubung bidang pengajian yang tiada kaitan dengan alam sekitar, Mohammad Ezanni menegaskan bahawa beliau adalah penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mana beliau terikat dengan kontrak dalam penjawatan awam.

“Saya penerima biasiswa JPA dan mereka menempatkan saya sebagai Pegawai Kawalan Alam Sekitar pada 2004, maka saya terikat dengan kontrak JPA,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Taman Pelangi pada 15 Mac lalu.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan, pemeriksaan dan menyelidik sesuatu perkara sebelum membuat sebarang dakwaan kerana ia boleh menjejaskan reputasi seseorang.

“Nasihat saya supaya orang ramai periksa dulu, sebelum buat tohmahan dan fitnah. Jangan ambil kesempatan atas sesuatu yang berlaku. Perkara ini membuatkan maruah dan reputasi saya sebagai penjawat awam terjejas,” katanya.

Terdahulu, ketika isu pencemaran Sungai Kim Kim heboh diperkatakan, Mohammad Ezanni selaku Pengarah JAS Negeri Johor diserang secara peribadi apabila pengguna laman sosial mendakwa PhD Mohammad Ezanni adalah palsu.

  • Berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Disiarkan pada: March 24, 2019 @ 1:27pm
    d