mutakhir

Kerjasama pulihkan sungai 'sakit' di Melaka

Oleh Fairuz Zaidan

PERANAN semua agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) diperlukan dalam usaha menjayakan pelan pemulihan sungai secara bersepadu di Melaka.

Ia susulan dua sungai di negeri ini iaitu Sungai Merlimau dan Sungai Seri Melaka yang dikategorikan sebagai ‘Sungai Kelas Tiga.’

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Rosli Osman, berkata, komitmen semua pihak mampu melestarikan pemulihan kualiti air di Sungai Merlimau dan Sungai Seri Melaka, sekali gus memastikan sumber air sungai itu dapat dipertingkatkan.

“JAS mempunyai program Pengawasan Kualiti Air Sungai di manabagi negeri Melaka, kita mempunyai enam lembangan utama untuk memantau semua 58 stesen secara manual dan dua stesen secara automatik.

“Dalam tempoh setahun, kontraktor yang dilantik dari ibu pejabat JAS di Putrajaya akan mengambil enam sampel parameter kualiti air sungai di semua 60 stesen bagi menyukur kandungan Biochemical Oxygen Demand (BOD), Ammoniacal Nitrogen (NH3-N), Total Suspended Solids (TSS), pH serta Indeks Kualiti Air (IKA) secara berkala,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Dalam senarai sungai tercemar di seluruh negara yang dikeluarkan JAS, Sungai Merlimau dan Sungai Seri Melaka di negeri ini adalah antara 24 sungai di seluruh negara yang dikategorikan sebagai ‘Sungai Kelas Tiga’ di mana memerlukan rawatan secara intensif.

Manakala, 26 sungai lain yang kebanyakannya terletak di Johor dikategorikan sebagai ‘Sungai Kelas Empat’ iaitu hanya untuk tujuan pengairan, manakala Sungai Tukang Batu juga di Johor dikategorikan sebagai Sungai Kelas Lima iaitu air yang tercemar teruk.

Mengulas status kualiti air di Sungai Merlimau dan Sungai Seri Melaka, Rosli berkata, secara umumnya dua sungai berkenaan lebih kepada punca pencemaran logistik seperti kumbahan, sisa dapur dan pasar.

Katanya, dua sungai itu tiada kaitan dengan unsur industri, selain tidak mempunyai punca kandungan kimia dan biologikal dalam pensampelan parameter yang dibuat oleh kontraktor yang dilantik agensi berkenaan.

“Ia berbalik kepada peranan pihak berkuasa negeri untuk memastikan usaha pemulihan dua sungai ini berjaya. Pada masa sama, pastikan tiada unsur pertanian di sekitar sungai yang dibimbangi boleh menjejaskan kualiti air sungai akibat daripada sebaran racun tanaman.

“Jika kita lihat, Sungai Melaka contohnya kini dikategorikan sebagai ‘Sungai Kelas Dua’ bersesuaian statusnya sebagai lokasi pelancongan negeri. Tetapi, ia juga bersesuaian dengan kos tinggi yang dibelanjakan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan NSTP di muara Sungai Merlimau di Kampung Pengkalan Samak, Merlimau, mendapati keadaan air sungai itu kekal berwarna hitam.

Malah, paras air sungai yang agak surut ketika tinjauan dibuat turut memperlihatkan garisan kehitam-hitaman sekali gus menimbulkan tanda tanya.

Disiarkan pada: March 24, 2019 @ 1:36pm
d