mutakhir

Demi ganjaran akhirat

Oleh Hassan Omar

SANGGUP mengenepikan nikmat dunia, sebaliknya 12 beradik sepakat untuk mewakafkan rumah pusaka untuk dijadikan pusat mengaji al-Quran.

Begitulah niat murni dilakukan guru mengaji al-Quran, Zainon Jaafar, 72, bersama 11 adiknya yang nekad mewakafkan rumah pusaka keluarga untuk dijadikan ‘Rumah Ngaji Ibnu Jaafar’ bagi kemudahan anggota komuniti di Kampung Paya Lebar, Lubok Cina, dekat Alor Gajah.

Sejak lima bulan lalu, Zainon sudah memulakan kelas mengaji al-Quran khusus untuk anak kariah di kampung berkenaan, termasuk mereka yang sudah mencecah lewat usia asalkan mempunyai kemahuan untuk menuntut ilmu tajwid bagi memperelok kualiti bacaan.

“Rumah ini milik arwah bapa, Jaafar Koter dan ibu, arwah Timah Alam yang sudah lama kembali ke Rahmatullah. Kami adik-beradik sudah mempunyai rumah masing-masing di kampung ini dan ada juga yang merantau ke Kuala Lumpur.

“Kami bincang apa yang boleh kami buat dengan rumah ini. Ada cadangan menjadikan inap desa, tetapi akhirnya kami sebulat suara menjadikannya pusat mengaji al-Quran yang dinamakan Rumah Ngaji Ibnu Jaafar. Ganjaran inap desa hanyalah bersifat dunia, sedangkan ganjaran yang kekal abadi adalah di akhirat kelak,” katanya.

Warga emas itu ditemui selepas majlis perasmian Rumah Ngaji Ibnu Jaafar oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Omar Jaafar, di Kampung Paya Lebar, Lubok Cina, di sini, hari ini.

Setakat ini, pusat mengaji al-Quran itu menerima seramai 12 pelajar termasuk seorang lelaki lembam berusia 30 tahun dan warga emas wanita berusia 84 tahun untuk mendalami bacaan al-Quran pada setiap Sabtu dan Ahad bermula 3 hingga 5 petang.

Zainon berkata, arwah datuknya yang membuka Kampung Paya Lebar dan menjadi sidang atau ketua kampung, iaitu Sidang Etot adalah orang alim yang menurunkan ilmu mengaji al-Quran kepada Jaafar dan Timah yang kemudiannya diperturunkan pula kepada dirinya dan adik-beradik yang lain.

Sementara itu, berucap pada majlis itu, Omar berkata, ilmu yang diajarkan oleh Zainon adalah sebahagian daripada amal jariahnya.

Sehubungan itu beliau meminta anak kariah kampung berkenaan supaya bersikap positif untuk menimba ilmu tajwid walaupun sudah lanjut usia kerana menuntut ilmu adalah kewajipan setiap umat Islam walaupun sudah lanjut usia.

Disiarkan pada: March 24, 2019 @ 2:19pm
d