mutakhir

Lima jam panjat Twin Peak, selamatkan pendaki cedera

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

SEORANG pendaki menderita kesakitan kira-kira lapan jam apabila kakinya cedera ketika mendaki puncak Gunung Twin Peak, Bukit Fraser, dekat Raub, tengah malam tadi.

Difahamkan, mangsa, Chok Sai Khow, 40, terseliuh kaki kiri ketika berada di puncak gunung pada ketinggian 1,500 meter dari aras laut sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa pada 12.15 tengah malam.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat itu sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, anggota bomba terpaksa melakukan pendakian ke puncak gunung melalui pintu masuk Pine Tree yang mengambil kira-kira lima jam.

“Anggota bomba yang mendaki berjaya menemui mangsa pada 5.24 pagi bersama dua rakannya. Mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan diberikan rawatan awal oleh anggota bomba dibantu dua rakannya. Bomba mengambil masa tiga jam untuk membawa mangsa turun,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian dirujuk ke Klinik Kesihatan Bukit Fraser untuk rawatan lanjut.

Disiarkan pada: March 24, 2019 @ 3:43pm
d